بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
APA ITU HADHANAH?
Hadanah bermaksud penjagaan kanak-kanak
yang masih kecil dan belum berupaya untuk
menguruskan dirinya sendiri, sama ada lelaki
atau perempuan, sama ada dalam tempoh
perkahwinan atau selepas perceraian.
Siapakah yang paling berhak
terhadap hadanah?
Sama ada dalam tempoh perkahwinan atau
selepas berlakunya perceraian, ibu ialah orang
yang paling berhak daripada orang lain bagi
menjaga anak kecilnya sehingga anak kecil itu
mencapai umur mumaiyiz (kecerdikan).
Siapakah yang akan menentukan hadhanah dan apakah pertimbangan yang diambil kira?
Jika timbul perselisihan berkenaan hadanah,
Mahkamah Syariah merupakan pihak yang
mempunyai autoriti dalam memutuskan hadanah
dan pertimbangan utama yang diberikan oleh
Mahkamah Syariah ialah kebajikan kanak-kanak
itu.
Selain itu, Mahkamah Syariah juga memberi
perhatian kepada perkara yang berikut:
(a) kebajikan kanak-kanak tersebut;
(b) kemahuan ibu bapa kanak-kanak;
(c) kemahuan kanak-kanak itu sekiranya
dia dalam peringkat umur yang boleh
menyatakan pendapatnya.
Apakah syarat-syarat yang dikenakan oleh Mahkamah semasa membuat perintah Hadhanah?
Semasa membuat perintah hadanah, Mahkamah
Syariah boleh mengenakan syarat-syarat yang
hendaklah dipatuhi oleh pihak-pihak. Antara
syarat tersebut ialah –
(a) tempat kanak-kanak itu akan tinggal dan
pelajarannya;
(b) mengadakan peruntukan bagi kanakkanak itu berada buat sementara dalam
pemeliharaan dan kawalan seseorang
yang lain daripada orang yang diberi
jagaan kanak-kanak itu;
(c) mengadakan peruntukan bagi kanakkanak itu untuk melawat ibu atau bapa
yang tidak diberi jagaan atau seseorang
daripada keluarga ibu yang telah mati
atau bapa yang tidak diberi jagaan dalam
masa yang difikirkan munasabah;
(d) memberi ibu atau bapa yang tidak diberi
hak jagaan atau seseorang daripada
keluarga ibu atau bapa yang telah mati
atau yang tidak diberi jagaan untuk
berjumpa dan melawati kanak-kanak
itu pada masa-masa dan seberapa
kerap yang difikirkan munasabah oleh
Mahkamah;
(e) melarang orang yang diberi jagaan itu
daripada membawa kanak-kanak itu
keluar dari Malaysia.
Apakah perintah lain yang boleh dikeluarkan oleh Mahkamah?
Sekiranya ibu atau bapa seseorang anak
mendapat jagaan anak memohon kepada
Mahkamah Syariah untuk suatu perintah tegahan
bagi menahan pihak yang tidak diberi jagaan
anak, membawa anak itu keluar Malaysia,
pihak Mahkamah Syariah boleh mengarahkan
demikian sekiranya terdapat alasan yang
munasabah.
Pihak-pihak boleh memohon perintah tegahan
daripada membawa keluar kanak-kanak dalam
penjagaan pihak-pihak dengan alasan-alasan
yang munasabah atau wajar untuk sesuatu
tujuan yang berfaedah kepada kebajikan
kanak-kanak.
Apakah kelayakan bagi membolehkan seseorang diberi hak hadanah?
Kelayakan bagi membolehkan seseorang diberi
hak hadanah ialah –
(a) dia seorang beragama Islam;
(b) dia seorang baligh dan sempurna
akalnya;
(c) umur yang melayakkan dia memberikan
kanak-kanak itu kasih sayang dan
pendidikan yang sempurna;
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak
Islamiah. Seseorang yang terkenal
dengan kefasikannya seperti penzina,
pencuri, peminum arak, penjudi dan
seumpamanya tidak harus mengendalikan
hadanah anak-anak;
(e) dia tinggal di tempat kanak-kanak itu
tidak mungkin menghadapi akibat buruk
dari segi akhlak atau jasmani.
Sekiranya seseorang ibu
hilang kelayakan hak
penjagaannya, kepada
siapakah hak tersebut akan
berpindah mengikut susunan
keutamaan?
Dalam keadaan ibu hilang kelayakan hak
penjagaannya, susunan keutamaan kepada
hak penjagaan kanak-kanak adalah seperti
yang berikut:
(a) nenek sebelah ibu hingga ke atas;
(b) bapa;
(c) nenek sebelah bapa hingga ke atas;
(d) kakak atau adik perempuan seibu
sebapa;
(e) kakak atau adik perempuan seibu;
(f) kakak atau adik perempuan sebapa;
(g) anak perempuan daripada kakak atau
adik perempuan seibu sebapa;
(h) anak perempuan daripada kakak atau
adik perempuan seibu;
(i) anak perempuan daripada kakak atau
adik perempuan sebapa;
(j) emak saudara sebelah ibu;
(k) emak saudara sebelah bapa;
(l) waris lelaki yang boleh menjadi warisnya
sebagai asabah atau residuary.
Apakah perkara-perkara
yang boleh menggugurkan hak
seseorang terhadap hadanah?
Umumnya, seseorang ibu adalah berhak untuk
mendapat penjagaan anak yang masih kecil
yang belum mencapai umur mumaiyiz. Namun
begitu hak tersebut akan gugur –
(a) jika perempuan itu berkahwin dengan
seorang lelaki yang tidak mempunyai
pertalian dengan kanak-kanak itu dan
lelaki tersebut bukan muhrim dengan
kanak-kanak itu;
(b) jika perempuan itu berkelakuan buruk
secara keterlaluan dan terbuka;
(c) j i k a p e r e m p u a n i t u m e n u k a r
pemastautinannya dengan tujuan
untuk mencegah bapa kanak-kanak itu
daripada menjalankan pengawasan yang
perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali
isteri yang bercerai boleh mengambil
anaknya sendiri ke tempat lahir isteri
itu;
(d) jika perempuan itu murtad;
(e) jika perempuan itu cuai atau menganiaya
kanak-kanak itu.
Berapa lamakah tempoh hadanah?
Tempoh hadanah tamat setelah kanak-kanak
mencapai umur mumaiyiz, iaitu tujuh tahun untuk
kanak-kanak lelaki dan sembilan tahun untuk
kanak-kanak perempuan. Setelah tamatnya
hak hadanah, jagaan adalah turun kepada
bapa dan jika kanak-kanak itu telah mencapai
umur (mumaiyiz), maka kanak-kanak itu berhak
memilih untuk tinggal dengan sama ada ibu atau
bapanya, melainkan jika Mahkamah Syariah
memerintahkan selainnya.
Siapakah yang berhak ke atas anak
yang tak sah taraf?
Hak penjagaan terhadap anak yang tak sah taraf
adalah pada ibu atau saudara-mara ibu.
Jika ibu tidak bekerja, adakah tidak layak mendapat hak hadanah?
Ibu yang tidak bekerja atau tidak mempunyai pendapatan tetap tidak menjadi penghalang atau hilang kelayakan untuk mendapat hak jagaan anak. Si Ibu tidak akan hilang kelayakan jika memenuhi syarat kelayakan yang dinyatakan di Seksyen 83, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, Negeri Pulau Pinang 2004.
Nafkah Anak Tanggungjawab Siapa?
Nafkah anak adalah tanggungjawab seorang bapa walaupun hak penjagaan anak diberikan kepada ibu seperti yang dinyatakan di Seksyen 73, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam, Negeri Pulau Pinang 2004
Apakah perkara-perkara yang
perlu diambil tindakan bagi
memudahkan proses Peguam untuk
tuntutan hadanah?
Setiap pemohon yang ingin mendapat khidmat Peguam Syarie atau Jabatan Bantuan Guaman perlu mengemukakan
dokumen atau butir yang berikut:
i. Butir-butir Perkahwinan
(a) Surat Nikah Asal/Surat Cerai;
(b) Sijil Kelahiran Anak-anak.
ii. Butir-butir Pihak Kena Tuntut
(a) Nama/alamat/pekerjaan suami/isteri;
(b) Nama/alamat majikan suami/isteri.
iii. Laporan-laporan berkaitan
(a) Runding cara;
(b) Laporan perubatan;
(c) Laporan Polis;
(d) Saksi;
(e) Penyata gaji suami/isteri;
(f) Perakuan daripada majikan suami/
isteri;
(g) Penyata KWSP suami/isteri;
(h) Bukti berhubung dengan pertukaran
alamat;
(i) Dokumen-dokumen sokongan lain
yang berkaitan, jika ada.
Bagaimanakah hendak memfailkan hadhanah di Mahkamah Syariah? |
Failkan kes di Mahkamah Tinggi Syariah di mana kita bermastautin atau dapatkan khidmat guaman daripada Peguam Syarie di Biro Bantuan Guaman atau swasta.
Like, Follow dan Share Page kami untuk manfaat bersama.
Semoga ada jalan penyelesaian untuk setiap masalah Anda, inshaaAllah 😃