"Tiada masalah yang tiada penyelesaiannya, Kami Sedia Membantu Anda ❤️ "

Sunday, 5 July 2020

FASAKH : ISTERI ADA HAK UNTUK BERPISAH

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

fasakh-peguam-syarie-faizadnan

                                       DEFINISI FASAKH                              

Fasakh. Apakah yang dimaksudkan dengan Fasakh?
Fasakh ialah melepaskan ikatan perkahwinan antara suami dan isteri setelah diminta cerai oleh isteri melalui pengadil (hakim). Fasakh hanya boleh dilakukan  oleh pihak yang berkuasa sahaja seperti hakim dan kadi apabila terdapat sebab tertentu seperti kehilangan suami tanpa diketahui keadaannya sama ada hidup atau mati ataupun salah seorang daripada suami atau isteri murtad dan sebagainya.

          SIAPA YANG BOLEH BUAT TUNTUTAN FASAKH       

Sebenarnya suami dan isteri kedua-duanya boleh menuntut fasakh di mahkamah. Suami juga mempunyai alasan-alasan yang membolehkan dia menuntut fasakh, Kenapa? Kerana kesan fasakh adalah berbeza dari perceraian biasa. Begitu juga suami boleh untuk tidak membayar mahar diatas keadaan dan sebab tertentu.

         BAGAIMANA SESEORANG BOLEH BUAT TUNTUTAN FASAKH 

Di antara perkara-perkara yang mengharuskan Fasakh ialah apabila suami atau isteri :

a) Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.
b) Tidak mengadakan peruntukan nafkah isteri selama tempoh 3 bulan.
c) Telah dihukum penjara selama tempoh 3 tahun atau lebih.
d) Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu tahun.
e) Telah mati pucuk.
f) Telah gila selama tempoh 2 tahun.
g) Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit.
h) Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isteri menderita.
i) Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat.
j) Memaksa isteri hidup secara lucah.
k) Melupuskan harta isteri.
l) Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama.
m) Tidak berlaku adil kepad isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak.
n) Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun 4 bulan telah berkahwin.
o) Dan apa-apa alasan lain yang diiktiraf Hukum Syarak.

                    PERBEZAAN FASAKH DAN TALAK                    

FASAKH 
  1. Fasakh ialah pembatalan akad daripada asas dan menghilangkan sifat halal yang menjadi kesan ke atasnya,.
  2. Fasakh berlaku sama ada dengan sebab hal-hal mendatang ke atas akad yang menafikan perkahwinan atau hal-hal yang berhubung kepada akad yang menyebabkan ia tidak lazim dari hukum asal.
  3. Selain itu, fasakh tidak mengurangkan bilangan talak yang dimiliki oleh suami.

TALAK
  1. Talak pula ialah menamatkan akad dan sifat halal masih kekal kecuali setelah talak ba’in (talak tiga).
  2. Talak pula ialah talak tidak berlaku kecuali berdasarkan akad yang sahih dan lazim. 
  3. Talak mengurangkan bilangan talak.

                       PROSEDUR TUNTUTAN FASAKH                    

Tuntutan perlu dilakukan dengan mengisi penyata tuntutan yang disediakan mahkamah sekiranya tidak menggunakan khidmat peguam. Pada ruangan alasan, sebaiknya tuliskan alasan-alasan bersama peruntukan perundangan. Misalnya, suami tidak membayar nafkah zahir isteri dan anak-anak selama lebih 6 bulan sepertimana yang dinyatakan pada seksyen 52 (1) (b) Akta Keluarga Islam ( Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 . Sekiranya anda menulis alasan yang banyak, kesemua alasan tersebut perlu dibuktikan. Oleh itu, alasan yang sedikit dengan pembuktian yang kuat lebih baik dari 10 alasan dengan tidak ada pembuktian. Saranan kami pilihlah beberapa alasan yang kuat yang mudah untuk dibuktikan.

Oleh kerana fasakh merupakan kes tuntutan, maka prosuder saman adalah diperlukan. Mahkamah akan menghantar saman kepada Defendan. Defendan perlu menandatangani saman tersebut untuk membolehkan perbicaraan di jalankan. Oleh itu, alamat Defendan adalah penting. Saman akan dihantar oleh mahkamah yang terhampir pada waktu bekerja, oleh itu alamat tempat kerja Defendan lebih praktikal untuk diserah. Melainkan Plaintif dan Defendan telah berbincang mengenai penyerahan saman. Walaubagaimanapun, sekiranya Defendan tidak ada di rumah semasa penyerahan saman oleh penghantar saman, saman gantian seperti secara tampal akan dilakukan. Cuma ianya memakan masa kerana saman gantian perlu diarahkan oleh hakim semasa dalam perbicaraan. Sekiranya segala usaha telah dilakukan dan Defendan masih tidak hadir, mahkamah akan memulakan prosiding perbicaraan tanpa kehadirann Defendan.

                                       KESAN FASAKH                                

Kesan ini menyebabkan fasakh berbeza dari perceraian secara biasa. 

  1. Apabila hakim menjatuhkan fasakh terhadap suami atau isteri, maka talak yang gugur ialah TALAK BAIN SUGHRA dimana bekas suami dan isteri tidak boleh merujuk semula dan tidak boleh berkahwin semula melainkan dengan akad nikah yang baru. 

  2. Fasakh juga tidak mengurangkan bilangan talak. Misalnya mahkamah memfasakhkan pernikahan Ahmad dan Siti buat kali pertama dan mereka tidak pernah bercerai. Sekiranya kedua-dua mereka berkahwin semula, maka bilangan talak yang Ahmad ada masih lagi tiga.


                     PENGANIYAAN TERHADAP ISTERI                   

Penganiayaan disebut sebagai dharar dalam Islam.

Al-Shatibi mendefinisikan dharar sebagai penganiayaan suami terhadap isteri dalam bentuk yang boleh mengancam nyawa, keturunan, harta benda dan akal isteri.

Oleh itu, penganiayaan yang berlaku terhadap isteri oleh suami dalam sebarang bentuk sama ada fizikal atau emosi adalah dharar.

Dalam konteks undang-undang, semua perbuatan yang boleh menimbulkan kemudaratan kepada rumah tangga terutamanya isteri sebagai mangsa akan membawa maksud dharar.

Seksyen 2 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam memperuntukkan dharar syarie ialah bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, maruah atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui hukum syarak.

Perbuatan suami memukul, mengabaikan nafkah atau tidak memberi nafkah langsung, melayan isteri dengan buruk, malah melacurkan isteri adalah antara contoh dharar syarie.

Isteri wajar diberi hak dan perlindungan. Dalam konteks undang-undang, penganiayaan dalam bentuk emosi atau mental termasuk menyakiti hati isteri atau suami sama ada perkataan atau perbuatan seperti menghina, mengeji atau menggunakan bahasa kesat boleh menyebabkan isteri atau suami sakit hati dan tersinggung.

Ternyata, penderaan emosi berbeza dengan penderaan fizikal. Kesan tekanan mental tidak dapat dilihat mata kasar.

Ia meninggalkan kesan terhadap emosi, perasaan dan hidup isteri. Selain penganiayaan, konflik dalam rumah tangga juga tidak lari daripada bisikan dan hasutan syaitan.

Jika tidak dapat bertahan lagi, boleh menuntut cerai. Jika alasan fasakh yang dinyatakan sukar dibuktikan, boleh dilakukan perceraian secara khuluk.


Like, Follow dan Share Page kami untuk manfaat bersama.
Hubungi kami untuk dapatkan khidmat nasihat, kami sedia membantu anda ❤️
Semoga ada jalan penyelesaian untuk setiap masalah Anda, inshaaAllah 😃