"Tiada masalah yang tiada penyelesaiannya, Kami Sedia Membantu Anda ❤️ "

Sunday, 5 July 2020

PKP BUKAN ALASAN RUMAHTANGGA BERANTAKAN

Gambar Hiasan

               Noor Mohamad Shakil Hameed
_________________________________________________________________________________

JUJURNYA antara hikmah penting di sebalik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara kita ialah membuka ruang dan peluang terbaik untuk kita mengeratkan hubungan kekeluargaan. Ia kerana ketika PKP kita dapat meluangkan lebih banyak masa bersama ahli keluarga. Justeru, kita sedikit terganggu dengan laporan terdapat lebih 130 panggilan berhubung kes keganasan rumah tangga direkodkan melalui Talian Kasih di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Secara prinsipnya kita tidak mahu segelintir anggota masyarat menjadikan PKP sebagai alasan melakukan keganasan rumah tangga sehingga boleh memporakperandakan kehidupan keluarga masing-masing.
Ironinya keganasan rumah tangga boleh berlaku dalam semua kelompok masyarakat tanpa mengenal agama, bangsa dan warna kulit, termasuk status sama ada kelompok berpendapatan rendah (B40), sederhana (M40) mahupun tinggi (T20). Mengikut tafsiran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), keganasan rumah tangga bermaksud, dengan sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam ketakutan, mencederakan mangsa secara fizikal, memaksa atau mengancam melakukan perbuatan seksual, mengurung atau menahan tanpa kerelaan, serta melakukan perbuatan khianat seperti merosakkan harta benda dengan niat menyebabkan kesedihan dan kegusaran mangsa. Ringkasnya, keganasan rumah tangga bermaksud perlakuan ganas terhadap pasangan yang melibatkan penderaan secara fizikal, seksual, psikologi serta sosial. Lazimnya keganasan rumah tangga banyak dikaitkan dengan penderaan suami ke atas isteri dan juga anak-anak.

Jadi sepatutnya tempoh PKP ini digunakan sebaik mungkin oleh setiap pasangan merapatkan hubungan melalui perubahan sikap, tingkah laku dan sentuhan kasih sayang yang luar biasa yang tidak pernah dibuat selama ini. Hakikatnya tanpa PKP, kita akan meneruskan kehidupan seperti biasa di mana kita akan sibuk dengan kerja dan tugasan masing-masing. Baik sama ada dalam kedaan suami dan isteri bekerja atau isteri suri rumah sepenuh masa, mereka hanya akan jumpa semula lewat petang atau malam saja iaitu selepas pulang dari kerja. Dalam kedaaan ini sudah tentu kita akan penat dan sukar untuk meluangkan lebih banyak masa bersama pasangan dan juga anak-anak. Maka situasi kehidupan rutin harian seperti ini memang sukar untuk menzahirkan kasih sayang yang lebih baik dan berkesan.
Justeru, ketika terperuk di rumah semasa PKP, kita sepatutnya ambil peluang untuk saling memahami pasangan kita dengan lebih dekat. Golongan suami terutama boleh mengetahui betapa sukarnya seorang isteri menguruskan rumah tangga dengan melaksanakan pelbagai tugasan dari pagi hingga ke malam, seperti mengemas rumah, menguruskan anak-anak dan suami serta masak untuk ahli keluarga. Selama ini golongan suami mungkin tidak berpeluang melihat sendiri kerja ini kerana banyak menghabiskan masa di pejabat dan di luar rumah. Ini sepatutnya mencetuskan kesedaran dalam kalangan suami betapa kita perlu banyak berterima kasih kepada isteri dan menghargai segala pengorbanan dan tanggungjawab yang dilakukannya untuk kesejahteraan dan kebahagiaan keluarga.

Maka timbul persoalan kenapa ketika PKP ini masih berlaku kes keganasan rumah tangga? Antara lain punca utamanya ialah masalah kewangan di mana pelaksanaan PKP mula memberikan tekanan kepada golongan yang terjejas dari segi pendapatan. Hakikatnya golongan B40 dan M40 yang bekerja sendiri atau berniaga serta bergaji harian adalah antara kelompok masyarakat yang cukup terkesan pada ketika ini kerana majoriti daripada mereka selama ini hidup umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang di mana hampir tidak ada tabung simpanan kecemasan yang boleh digunakan pada waktu terdesak seperti ini. Keadaan menjadi lebih serius jika mereka mempunyai anak dan tanggungan yang ramai. Ironinya, mereka putus pendapatan sepenuhnya dan masalah kewangan ini dengan mudah memberikan tekanan kepada suami yang memerlukan sumber kewangan untuk memenuhi keperluan harian keluarga. Akibatnya mereka mudah hilang pertimbangan dan ini boleh mencetuskan pergaduhan atau perbalahan antara suami dan isteri serta ahli keluarga yang lain, sekali gus membawa kepada berlakunya keganasan rumah tangga.
Jujurnya perselisihan faham, perbalahan dan masalah adalah perkara biasa dalam rumah tangga umpama pepatah, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Jadi apa yang penting ialah bagaimana kita mengharungi segala dugaan dan cabaran ini secara bersama dengan matang, sabar dan tenang. Masalah yang ada tidak boleh diatasi jika kita dikuasai oleh perasaan dan emosi yang tidak stabil. Oleh itu, buang yang keruh, ambil yang jernih, lihatlah kebaikan PKP serta hikmah
di sebaliknya. Jika keperluan kewangan untuk menampung keperluan keluarga menjadi masalah utama, cubalah dapatkan bantuan yang diperlukan yang disediakan oleh pelbagai pihak baik agensi kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan. Malah, jangan lupa pihak kerajaan juga menyediakan bantuan kewangan tunai melalui pakej Bantuan Prihatin Nasional (BPN), gunakanlah bantuan ini sebaik mungkin dengan berhemat. Bagi golongan peniaga yang terjejas, walaupun berniaga secara kecil-kecilan cubalah teroka dengan lebih serius kaedah perniagaan dalam talian yang semakin hari semakin popular dewasa ini terutamanya ketika PKP. Tuntasnya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Kita akui pelaksanaan PKP dan ancaman wabak Covid-19 ini memberikan pelbagai kesan langsung kepada kehidupan seharian kita dan percayalah kehidupan kita selepas PKP atau pasca Covid-19 juga pastinya akan berubah yakni kita akan mengharungi kehidupan dalam kebiasaan baharu. Jadi anggota masyarakat perlu membiasakan diri dengan senario dan persekitaran baharu demi kelangsungan hidup selepas ini. Justeru, jangan jadikan PKP sebagai alasan untuk melakukan keganasan rumah tangga sehingga keluarga menjadi porak peranda, sebaliknya gunakan masa yang ada untuk memahami dan menghargai pasangan masing-masing demi kebahagiaan rumah tangga dan keluarga.
Penulis Timbalan Pengarah Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia
Sumber : Harian Metro

Like, Follow dan Share Page kami untuk manfaat bersama.
Hubungi kami untuk dapatkan khidmat nasihat, kami sedia membantu anda ❤️
Semoga ada jalan penyelesaian untuk setiap masalah Anda, inshaaAllah 😃