"Tiada masalah yang tiada penyelesaiannya, Kami Sedia Membantu Anda ❤️ "

Tuesday, 28 July 2020

PENTADBIRAN HARTA PUSAKA

Memilih Instrumen Perancangan Pusaka - Nota Warisan Pusaka



Apakah yang dimaksudkan dengan harta pusaka?
Harta pusaka ialah harta peninggalan si mati yang mengandungi harta alih dan harta tak alih. Harta seperti wang tunai, syer, caruman KWSP, wang imbuhan insurans, kenderaan, perabot rumah, pakaian dan sebagainya dipanggil harta alih. Harta seperti tanah serta kepentingan atas tanah tersebut, rumah, lombong, sawah, telaga dan tasik adalah disebut sebagai harta tak alih. Penerangan ringkas seperti dalam Lampiran "A”. 


Apakah yang dimaksudkan dengan “harta pusaka kecil”?
Harta peninggalan si mati tanpa wasiat yang bernilai RM 2,000,000.00 ke bawah. Harta yang berikut adalah dianggap sebagai harta pusaka kecil: 
(a) tanah sahaja; 
(b) tanah dengan rumah; 
(c) tanah, rumah dan harta alih seperti barang kemas, syer, caruman KWSP, simpanan wang, kenderaan bermotor, perabot, pakaian, dsb.; dan 
(d) tanah dan apa-apa jumlah tuntutan di bawah seksyen 7 dan 8 Akta UndangUndang Sivil 1956 [Akta 67]. 

Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk risalah panduan permohonan tuntutan pembahagian harta pusaka kecil di bawah Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955 [Akta 98].


Apakah yang dimaksudkan dengan “harta pusaka biasa”?
harta peninggalan si mati dengan wasiat atau tanpa wasiat, atau sebahagiannya tanpa wasiat seperti - 
(a) harta alih dan harta tak alih yang bernilai RM 2,000,000.00 ke atas kesemuanya; 
(b) harta tak alih (tanah) yang bernilai lebih daripada RM 2,000,000.00; dan 
(c) harta alih sahaja seperti wang, syer, kenderaan walaupun nilai kesemuanya kurang daripada RM 2,000,000.00


Apakah yang dimaksudkan dengan harta pusaka berwasiat dan/atau tidak berwasiat (testate and intestate estate)?
Jika si mati meninggalkan harta dengan surat wasiat terakhir yang sah yang mengandungi cara-cara bagaimana harta pusakanya hendaklah dibahagikan antara wariswarisnya, harta pusaka itu dipanggil harta pusaka berwasiat. Bagi orang yang bukan beragama Islam, wasiat itu adalah sah selama ia tidak mengandungi syarat-syarat yang bercanggah dengan Akta/Ordinan Wasiat dan kesahan wasiatnya tidak dicabar oleh mana-mana waris. Bagi orang yang beragama Islam, si mati hanya boleh mewasiatkan tidak lebih daripada 1/3 daripada harta pusakanya kepada pihakpihak lain selain waris (dengan persetujuan atau tanpa persetujuan waris). Orang yang meninggalkan harta tanpa wasiat dipanggil harta pusaka tak berwasiat.


Apakah yang dimaksudkan dengan “probet”? 
Probet ialah tindakan untuk memperakukan dan mengesahkan sesuatu wasiat yang ditinggalkan oleh si mati. Tujuan probet adalah untuk memberi pengiktirafan kepada sesuatu wasiat yang sah di sisi undangundang.


Siapakah yang boleh memohon surat kuasa mentadbir harta pusaka?
Permohonan boleh dibuat oleh pihak yang berikut: 
(a) Waris si mati (benefisiari si mati) seperti balu atau duda, anak lelaki atau anak perempuan, ibu atau bapa, adik-beradik dan sebagainya; 
(b) pemiutang (creditor) seperti pemberi pinjam wang, bank, koperasi, dsb.; 
(c) pihak-pihak pembeli (purchasers) dan pemegang serah hak, pemegang gadaian d a n p a j a k a n y a n g m e m p u n y a i kepentingan dalam harta peninggalan si mati; 
(d) waris-waris, pemegang amanah, Ketua Pengarah Insolvensi, Amanah Raya Berhad, dsb.; dan 
(e) Pihak Berkuasa seperti Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan Baitulmal yang mempunyai kepentingan masing-masing dalam harta pusaka yang berkenaan. 


Apakah prosedur untuk membuat permohonan probet dan surat kuasa mentadbir?
Prosedur yang perlu diikuti adalah seperti yang berikut: Bagi harta pusaka dengan wasiat dan harta pusaka yang ditakrifkan sebagai harta pusaka biasa, tindakan hendaklah diambil di Mahkamah Tinggi yang berhampiran dengan alamat tempat tinggal si mati. Mahkamah Tinggi berkuasa untuk mengeluarkan probet. Jika si mati tidak meninggalkan apa-apa wasiat, permohonan untuk surat kuasa mentadbir pusaka tanpa wasiat hendaklah dibuat. Kedua-dua tindakan ini boleh dibuat dengan petisyen dalam contoh borang seperti di Lampiran “B1” dan “B2”.


Apakah dokumen-dokumen yang perlu dikemukakan semasa permohonan?
Setiap petisyen untuk probet atau surat kuasa mentadbir harta pusaka mestilah disertakan dengan - 
(a) bukti kematian seperti sijil kematian (death certificate) atau permit untuk mengebumikan mayat. Lazimnya d o k u m e n - d o k u m e n s e p e r t i i n i dikeluarkan oleh pihak hospital dan/ atau pihak polis; 
(b) jika kematian tidak dapat dibuktikan dengan cara biasa, suatu permohonan untuk perintah anggapan kematian (presumption of death) hendaklah dibuat di Mahkamah Tinggi terlebih dahulu dan perintah Mahkamah Tinggi itu hendaklah dikemukakan bersama-sama dengan petisyen untuk probet atau surat kuasa mentadbir pusaka;
(c) surat wasiat terakhir si mati (dalam hal permohonan probet); 
(d) suatu jadual yang mengandungi butirbutir serta nilai aset dan tanggungan (assets & liabilities) dan senarai waris si mati; 
(e) suatu Sijil Faraid yang diperoleh daripada Mahkamah Syariah (dalam hal orang Islam); 
(f) suatu senarai waris, umur, tali persaudaraan dengan si mati dan alamat masing-masing bagi tujuan mendapat persetujuan untuk melantik pentadbir yang dicadangkan; 
(g) surat persetujuan waris-waris dengan pelantikan seorang waris yang dicadangkan sebagai pentadbir pusaka yang ditandatangani di hadapan seorang Majistret/Pesuruhjaya Sumpah, sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan; 
(h) surat penolakan waris-waris yang ingin menolak hak dan bahagian masingmasing kepada surat kuasa mentadbir pusaka bagi harta pusaka tersebut (Borang 169); 
(i) dokumen pelantikan penjaga (guardian ad litem) (dalam hal waris-waris di bawah umur atau orang kurang upaya).

Dua (2) orang penjamin yang layak dan sesuai hendaklah dikemukakan sekiranya harta melebihi RM 50,000.00. 
Geran (atau kuasa) untuk probet atau mentadbir harta pusaka hanya boleh dikeluarkan setelah semua maklumat yang diperlukan oleh mahkamah telah dikemukakan oleh pempetisyen.


Bolehkah mahkamah mengecualikan bon penjamin?
Jika sekiranya pempetisyen mengalami kesulitan untuk mendapatkan penjaminpenjamin yang layak dan sesuai, dia bolehlah memohon kepada mahkamah untuk suatu perintah supaya dia diberi kebenaran dikecualikan daripada mengemukakan penjamin-penjamin (dispensation of sureties) atau mendapatkan khidmat penjamin profesional seperti syarikat insurans atau institusi bank dengan bayaran fi yang ditetapkan oleh syarikat/institusi berkenaan berdasarkan jumlah harta pusaka tersebut.


Bilakah mahkamah akan mengeluarkan surat kuasa mentadbir berdasarkan probet? 
Surat kuasa mentadbir harta pusaka/probet hanya boleh dikeluarkan apabila perintah pengecualian penjamin diperoleh dan bon pentadbiran telah ditandatangani oleh pempetisyen.


Di manakah surat kuasa mentadbir harta pusaka/probet perlu didaftarkan?
Setelah surat kuasa mentadbir harta pusaka/ probet diperoleh oleh pempetisyen, surat kuasa tersebut hendaklah didaftarkan di pejabat tanah yang berkenaan, agar semua suratan hakmilik tersebut didaftarkan atas nama pempetisyen sebagai pentadbir si mati berkenaan, menurut seksyen 346 Kanun Tanah Negara dan adalah menjadi tanggungjawab pempetisyen untuk memohon kepada mahkamah, sebaik sahaja dia menghasilkan semua aset si mati, suatu perintah pembahagian terhadap harta pusaka itu kepada waris-waris menurut faraid atau menurut terma-terma wasiat si mati atau menurut Akta/Ordinan Wasiat.


Apakah prosedur untuk membuat permohonan untuk mentadbir harta pusaka kecil?
Permohonan untuk mentadbir harta pusaka kecil hanya dibuat di Pejabat Tanah yang nilai jumlah harta tak alih bersama harta alih tidak melebihi RM 2,000,000.00 pada tarikh peninggalan si mati. Permohonan ini dibuat dengan menggunakan Borang A yang boleh didapati di Pejabat Tanah khasnya daripada Unit Pembahagian Pusaka Kecil. Permohonan harta pusaka kecil seperti di Lampiran “C”.


Apakah dokumen-dokumen yang perlu disertakan?
Borang A hendaklah dikemukakan kepada Unit Pembahagian Pusaka Kecil berserta dengan dokumen yang berikut: 
(a) sijil kematian atau permit pengebumian; 
(b) sijil faraid yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah; dan 
(c) salinan hakmilik keluarga dan salinan dokumen–dokumen lain yang menunjukkan pegangan harta tak alih yang sah.


Apabila permohonan difailkan, apakah tindakan Unit Pembahagian Pusaka Kecil?
Apabila permohonan difailkan, unit berkenaan akan menyediakan laporan seperti yang berikut: 
(a) laporan Penghulu di mukim tempat pemohon itu tinggal;
(b) perakuan daripada Pejabat Tanah tentang nilaian harta yang dinyatakan dalam permohonan; dan 
(c) pengesahan daripada Pendaftar Mahkamah Tinggi sama ada permohonan untuk Borang C telah dibuat atau belum bagi mentadbir harta pusaka berkenaan.


Apakah yang akan berlaku seterusnya?
(a) Apabila semua laporan yang disebut terdahulu telah diperoleh, suatu tarikh perbicaraan akan ditetapkan oleh Unit Pembahagian Pusaka Kecil melalui notis perbicaraan yang akan dihantar kepada pemohon dan waris-waris yang berkenaan. 
(b) Semasa perbicaraan dijalankan, Pegawai Tadbir Unit Pembahagian Pusaka Kecil akan memeriksa keterangan daripada pemohon dan juga wariswaris yang berkenaan dan merekodkan keterangan tersebut dan setelah berpuas hati akan membenarkan permohonan yang dipohon itu. 
(c) Perintah pembahagian akan hanya dikeluarkan selepas 14 hari dari tarikh perbicaraan untuk membolehkan manamana pihak mengemukakan rayuan, sekiranya terdapat apa-apa yang tidak memuaskan hati mana-mana pihak. 
(d) Selepas tamat tempoh 14 hari dan sekiranya tidak ada apa-apa rayuan yang diterima, perintah pembahagian bolehlah dikeluarkan dengan membayar kepada Pejabat Tanah sejumlah fi yang ditetapkan. 
(e) Setelah perintah tersebut diperoleh, pemohon dikehendaki menyerahkan geran tanah untuk didaftarkan pembahagian seperti yang dicatatkan dalam perintah pembahagian dan geran tanah berkenaan akan dikembalikan setelah pendaftaran selesai. Carta Aliran Proses Permohonan Untuk Pentadbiran Dan Pembahagian Harta Pusaka Kecil seperti di Lampiran “D”.

Apakah prosedur untuk memohon pentadbiran terus (summary administration) di Amanah Raya Berhad?
(a) Ketua Pegawai Eksekutif dibenarkan m e n t a d b i r h a r t a p u s a k a y a n g mempunyai harta alih yang tidak melebihi RM 600,000.00 di bawah seksyen 17 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 (Akta 532) tanpa surat kuasa mentadbir daripada Mahkamah Tinggi atau Pejabat Pentadbir Tanah Daerah. Ini dibuat sekiranya tiada apa-apa permohonan dibuat oleh mana-mana pihak yang lain. 
(b) Waris-waris atau sesiapa yang mempunyai kepentingan dalam harta pusaka si mati yang tidak melebihi RM 600,000.00 dalam bentuk harta alih sahaja boleh memohon kepada Amanah Raya Berhad untuk mentadbir harta pusaka tersebut. 
(c) Waris-waris hanya diperlukan mengisi dan mengemukakan borang permohonan ini dengan maklumat yang lengkap dan dokumen-dokumen yang membuktikan kematian si mati. 
(d) Sebaik sahaja permohonan ini diterima, Amanah Raya Berhad akan memprosesnya dengan mengeluarkan suatu pengisytiharan bagi mentadbir harta pusaka tersebut.
(e) Amanah Raya Berhad diberi kuasa untuk menghasilkan aset-aset yang berkenaan bagi tujuan pembahagian. 
(f) Setelah menjelaskan bayaran duti pusaka bagi kes-kes kematian (sebelum 1 November 1991 sahaja), hutang pusaka dan menolak fi bagi Amanah Raya Berhad, baki aset akan dibahagikan menurut faraid (bagi orang Islam), Ordinan Pembahagian (bagi orang bukan Islam) atau secara persetujuan antara wariswaris yang berkenaan. 
(g) Seksyen 17 Akta Perbadanan Amanah Raya 1995 adalah sangat berkesan bagi kes tuntutan kemalangan maut jalan raya di mana waris-waris si mati bercadang untuk mengambil tindakan di bawah seksyen 7 dan 8 Akta UndangUndang Sivil 1956.


Bolehkah JBG atau peguam swasta memberi bantuan untuk membuat permohonan probet atau surat kuasa mentadbir?
Boleh, pemohon yang berkelayakan boleh datang ke cawangan JBG yang berdekatan atau berhubung dengan peguam swasta lain dengan membawa dokumen-dokumen yang diperlukan seperti yang dinyatakan di Lampiran “E”.

sumber : JBG

Like, Follow dan Share Page kami untuk manfaat bersama.
Hubungi kami untuk dapatkan khidmat nasihat, kami sedia membantu anda ❤️
Semoga ada jalan penyelesaian untuk setiap masalah Anda, inshaaAllah ðŸ˜ƒ