"Tiada masalah yang tiada penyelesaiannya, Kami Sedia Membantu Anda ❤️ "

Sunday, 26 July 2020

Majlis Sulh di Mahkamah Syariah : Ketahui Fungsi dan Prosedur

MAJLIS SULH DI MAHKAMAH SYARIAH 
KETAHUI FUNGSI DAN PROSEDUR
Oleh : Suhaizad Saifuddin
Pegawai Sulh Mahkamah Syariah Negeri Sembilan dari tahun 2015-2017

MAJLIS SULH
Majlis Sulh ialah suatu perbincangan atau perundingan secara damai antara 2 pihak yang bertikai yang diadakan di hadapan Pegawai Sulh Mahkamah Syariah dengan tujuan untuk mendapatkan persetujuan bersama dalam menyelesaikan isu yang dipertikaikan. di Mahkamah Sivil ianya dikenali sebagai Mediasi.

OBJEKTIF
1) Membantu pihak-pihak menyelesaikan pertikaian mereka melalui perundingan bersama secara damai tanpa perlu hadir ke prosiding perbicaraan di dalam Mahkamah
2) Membantu pihak-pihak menyelesaikan kes mereka dengan cepat dan teratur
3) Membantu Mahkamah mempercepatkan penyelesaian kes
4) Mengurangkan kadar kes-kes tertunggak di Mahkamah Syariah

SIAPA PEGAWAI SULH?
Pegawai Sulh merupakan seorang kakitangan awam Mahkamah Syariah yang terlatih dan memiliki jawatan LS 41 dan keatas. Pegawai-pegawai ini memiliki kemahiran dan dilatih untuk menjalankan Majlis Sulh mengikut prosedur yang ditetapkan.
SIAPAKAH YANG TERLIBAT?
Hanya Pegawai Sulh , Plaintif dan Defendan sahaja yang terlibat di dalam Majlis Sulh. Pihak peguam yang mewakili Plaintif dan Defendan tidak dibenarkan turut sama menyertai perbincangan.
BOLEHKAH PIHAK LAIN TERLIBAT SAMA?
Sekiranya terdapat keperluan, maka Pegawai Sulh boleh membenarkan pihak ketiga untuk menyertai Majlis Sulh. Misalnya, penterjemah untuk bangsa asing atau bahasa isyarat untuk Orang Kelainan Upaya ( OKU).
KUASA MAJLIS SULH
Perintah dan keputusan yang dicapai melalui Majlis Sulh adalah sama tarafnya  dengan perintah yang dikeluarkan mahkamah melalui perbicaraan.  Persetujuan yang dicapai melalui Majlis Sulh boleh dipinda tetapi mestilah berdasarkan persetujuan pihak-pihak.
KES-KES YANG MESTI MELALUI MAJLIS SULH
Kes-kes yang didaftarkan ini mesti melalui Majlis Sulh sama ada pihak Plaintif dan Defendan bersetuju atau tidak bersetuju. Sekalipun ada pihak-pihak yang tidak bersetuju, pihak tersebut mesti menyertai Majlis Sulh dan menyatakan pendirian tersebut semasa perbicangan diadakan.
Kes-kes yang dinyatakan ini perlu dirujuk ke Majlis Sulh semasa peringkat pendaftaran kes di Mahkamah Syariah iaitu terdapat 18 Jenis Tuntutan:-
1) Gantirugi Pertunangan
2) Muta’ah
3) Harta Sepencarian
4) Nafkah Isteri
5) Nafkah Kepada Pihak Tak Upaya
6) Cagaran Nafkah
7) Nafkah Eddah
8) Mengubah Perintah Nafkah
9) Tunggakan Nafkah
10) Nafkah Anak termasuk anak tidak sah taraf
11) Mengubah Perintah Hak Jagaan Anak
12) Mengubah Perjanjian Hak Jagaan Anak
13) Hadhanah termasuk anak tidak sah taraf
14) Gantirugi Perkahwinan
15) Hak Tempat Tinggal
16) Perintah Supaya Suami Tinggal Bersama Semula
17) Isteri Kembali Taat
18) Mas Kahwin
PROSES MAJLIS SULH
5E9CD862-2464-4BD3-AE98-FE90368C2E75
Terdapat beberapa peringkat Prosedur Kerja Sulh merujuk kepada Manual Kerja Sulh atau Kaedah Tatacara Sulh iaitu:-
1) Kes Didaftarkan di Mahkamah
2) Pendaftar Menilai Kes Yang Boleh Sulh akan diagihkan kepada Pegawai Sulh
3) Tarikh Majlis Sulh akan ditetapkan dalam tempoh 21 hari dari tarikh pendaftaran kes.
4) Notis Kehadiran Majlis Sulh dikeluarkan kepada pihak-pihak
5) Majlis Sulh diadakan pada tarikh yang ditetapkan dengan kehadiran kedua-dua pihak di hadapan Pegawai Sulh
Berdasarkan Manual Kerja Sulh/Kaedah Tatacara Sulh telah menerangkan garis panduan bagaimana Majlis Sulh akan dijalankan iaitu:-
(i) Kenyataan Awal (Al Ta’arruf) Pegawai Sulh
– Mulakan dengan bacaan al-fatihah dan doa
– Perkenalkan diri
– Menerangkan matlamat dan peraturan sulh
– Kerahsiaan segala yang dibincangkan dalam Majlis Sulh tidak boleh didedahkan kepada mana-mana pihak
(ii) Pembentangan Awal pihak yang bertikai
– Pihak Plaintif untuk membentangkan apa yang dipertikaikan serta cadangan untuk menyelesaikannya
– Pihak Defendan untuk membentangkan apa yang dipertikaikan serta cadangan untuk menyelesaikan masalah ini
(iii) Perbincangan Bersama untuk membincangkan cara penyelesaian
(iv) Jika tiada penyelesaian, Pegawai Sulh boleh membuat Pertemuan Sebelah Pihak (KAUKUS)
(v) Perundingan Bersama
(vi) Keputusan Majlis Sulh :-
KES SULH BERJAYA : Jika ada persetujuan bersama, Pegawai Sulh akan menderaf Perjanjian Penyelesaian dan pihak-pihak akan menandatangani perjanjian tersebut di hadapan Pegawai Sulh dan disampaikan kepada Hakim untuk diendorskan sebagai Perintah Mahkamah.
KES SULH GAGAL : Jika tiada persetujuan bersama, kes tersebut akan diserahkan kembali kepada Mahkamah untuk dibicarakan di hadapan Hakim.

PENYAMPAIAN DAN PENERIMAAN NOTIS SULH
Apabila Plaintif selesai mendaftar kes, pihak Plaintif akan menerima Notis Sulh yang mengandungi butiran-butiran iaitu tarikh, masa dan tempat Majis Sulh dijalankan. Untuk Defendan pula, penghantaran notis tersebut  akan diuruskan oleh mahkamah. Penyampaian notis sulh ini sedikit berbeza dari prosuder penyampaian saman dan permohonan bagi kes perbicaraan. Ini kerana Notis Sulh tiada kuasa untuk memaksa kehadiran pihak Defendan dan perbincangan sebelah pihak tidak boleh diadakan. Ini juga bermaksud tiada prosedur tampalan notis di rumah Defendan akan dibuat. Namun, penyampaian Notis Sulh tetap disampaikan secara kediri oleh Penghantar Notis Mahkamah kepada Defendan. Manakala untuk Notis Tangguhan , penghantaran dilakukan melalui pos. Kebiasaannya, sebelum Majlis Sulh berlangsung, Pegawai Sulh akan menghubungi pihak Defendan untuk mengetahui status penerimaan Notis Sulh dan Pegawai Sulh akan berusaha untuk mengadakan Majlis Sulh mengikut masa lapang pihak-pihak terutama pihak yang berada di luar kawasan.

DOKUMEN YANG PERLU DIBAWA
Semasa menghadiri Majlis Sulh pastikan dibawa bersama Notis Majlis Sulh dan kad pengenalan.  Notis Majlis Sulh mengandungi maklumat seperti tarikh, masa dan bilik atau pegawai sulh yang mengendalikan Majlis Sulh.Selain itu juga bawa bersama segala dokumen asal bagi tujuan pengesahan sekiranya diperlukan.

PERSEDIAAN
Selain mengenakan pakaian yang sesuai, pihak Plaintif dan Defendan juga perlu bersedia mengenai perkara yang akan dibincangkan. Apakah tuntutan yang ingin dibuat, butiran yang perlu dibentang dan tawaran yang akan diberikan bagi menyelesaikan pertikaian. Misalnya bagi kes Tuntutan Nafkah Anak, Plaintif atau ibu perlu membentangkan perbelanjaan yang diperlukan sebaiknya dalam bentuk senarai yang mengandungi segala perbelanjaan bulanan. Defendan atau bapa juga perlu bersedia untuk mengemukakan kemampuan untuk membayar nafkah seperti slip gaji dan senarai hutang atau tanggungan. Pihak-pihak juga boleh membuat tawaran jumlah yang sesuai berdasarkan keperluan bukan kehendak anak tersebut berdasarkan kemampuan bapa.

TEMPOH PENYELESAIAN KES SULH
Tempoh penyelesaian kes adalah tidak lebih 2 bulan. Ini bermakna dalam tempoh 2 bulan, kes tersebut mesti diselesaikan di peringkat Majlis Sulh. Berbanding proses perbicaraan ia tidak menetapkan tempoh penyelesaian sesuatu kes kerana ia bergantung dan terikat dengan prosedur-prosedur tertentu.

ADAKAH PERSETUJUAN MAJLIS SULH BOLEH DIUBAH DAN DIBATALKAN
Apabila sesuatu persetujuan telah dicapai dan perintah mahkamah dikeluarkan, ianya tidak boleh diubah melainkan terdapat perubahan matan. Misalnya, anak-anak telah membesar bagi meminda persetujuan bagi kes hadhanah dan nafkah anak. Dalam erti kata lain, ianya sentiasa boleh diubah atau pinda berdasarkan kepada perubahan semasa. Ianya juga boleh dibatalkan misalnya bagi tujuan pemberhentian potongan gaji bagi nafkah anak. Pembatalan tersebut perlu dibuat kerana pemberhentian tersebut bukan berkuatkuasa secara automatik. Akan tetapi sekiranya pihak Defendan ingin meminda misalnya dengan alasan terkhilaf atau tersilap menyatakan persetujuan semasa Majlis Sulh diadakan adalah tidak dibenarkan. Oleh itu, pihak-pihak perlu faham terma-terma yang dipersetujui di dalam Majlis Sulh sebelum menurukan tandatangan.

PELANGGARAN PERJANJIAN
Sekiranya mana-mana pihak melanggar mana- mana terma-terma di dalam persetujuan dia boleh dikenakan tindakan. Sekiranya ianya melibatkan amaun wang, ia tetap menjadi hutang dan tunggakan yang perlu di bayar. Permohonan saman penghutang penghakiman atau kuatkuasa perintah boleh dibuat. Selain itu, pihak-pihak yang melanggar perjanjian tersebut boleh dikomit atau dipenjarakan.

CONTOH-CONTOH TERMA PENYELESAIAN MAJLIS SULH:
  1. Hadhanah
a. Pihak Plaintif dan Defendan bersetuju untuk menyerahkan hak jagaan anak bernama XXX, No.Mykid: XXX kepada Plaintif selaku ibu kandung anak tersebut
b. Defendan diberikan hak lawatan dan bermalam dengan anak tersebut pada setiap hujung minggu dimana Defendan akan mengambil anak tersebut pada Hari Jumaat sebelum jam 6 petang dan mengembalikan anak tersebut pada Hari Ahad sebelum jam 6 petang.
c. Pihak Plaintif dan Defendan bersetuju hak bersama semasa cuti persekolahan dan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha secara berselang seli.
2. Nafkah Anak
a. Defendan bersetuju untuk membayar nafkah anak bernama XXXX, No.Mykid XXX sebanyak RM 500 sebulan.
b. Bayaran dibuat dengan memasukan wang tersebut ke dalam akaun Plantif, No.Akaun XXX sebelum 30 hb setiap bulan
c. Defendan juga bersetuju untuk menyediakan keperluan awal persekolahan dan Hari Raya Aidilfitri termasuklah yuran dan perbelanjaan awal persekolahan setiap tahun.
3. Harta Sepancarian
a. Plaintif dan Defendan bersetuju untuk mengisytiharkan harta-harta tersebut  segaia harta sepencarian antara kedua-dua pihak sebanyak 1/2 bahagian:
i. Sebuah rumah yang beralamat di XXXX, No.GeranXXX yang didaftarkan diatas nama Plaintif
ii. Sebidang tanah yang beralamat di XXXX, No.Geran XXX yang didaftarkan diatas nama Defendan
iii. Sebuah kereta jenama XXX No Pendaftaran XXXX yag didaftarkan diatas nama Plaintif
b. Pihak Plaintif dan Defendan bersetuju untuk menjual harta-harta tersebut dan membahagikan hasil keuntungan jualan selepas ditolak semua kos kepada pihak-pihak sebanyak 1/2 bahagian.
c. Urusan jualan akan diuruskan oleh Plaintif dalam tempoh setahun daripada persetujuan ini dicapai.
4. Mut’ah
a. Defendan bersetuju untuk membayar sebanyak RM 10,000 sebagai penyelesaian kepada tuntutan mut’ah Defendan.
b. Bayaran dibuat secara lump sum dengan memasukkan wang ke dalam akaun Plaintif, No.Akaun XXX sebelum 30 hb XX tahun XX , atau
c. Bayaran dibuat secara ansuran sebanyak RM 500 sebulan dengan memasukkan wang ke dalam akaun Plaintif, No.Akaun XXX sebelum 30 hb XX tahun XX sehingga bayaran selesai.

PENUTUP
Majlis Sulh merupakan tempat untuk pihak Plaintif dan Defendan  berbincang secara baik. Saya mendapati ramai pihak selepas bercerai tidak boleh berkomunikasi dengan baik bagi membincangkan isu-isu berbangkit selepas perceraian. Jadi, Majlis Sulh merupakan satu tempat untuk berbincang secara baik demi maslahah anak-anak dan diri pihak-pihak itu sendiri.
__________________________________________________________________
Like, Follow dan Share Page kami untuk manfaat bersama.
Hubungi kami untuk dapatkan khidmat nasihat, kami sedia membantu anda ❤️
Semoga ada jalan penyelesaian untuk setiap masalah Anda, inshaaAllah 😃