"Tiada masalah yang tiada penyelesaiannya, Kami Sedia Membantu Anda ❤️ "

Tuesday, 7 July 2020

HARTA SEPENCARIAN : BERHAKKAH SAYA?

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ


DEFINISI HARTA SEPENCARIAN
Harta sepencarian ialah suatu harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, yang diperoleh bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Harta itu juga termasuklah harta yang diperoleh sebelum mereka berkahwin tetapi telah dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa perkahwinan hasil usaha bersama atau sumbangan bersama mereka.

APAKAH PERKARA YANG DIAMBIL KIRA DALAM MENENTUKAN HARTA SEPENCARIAN?
Harta sepencarian yang diperoleh dalam masa perkahwinan itu dinilai dari dua perkara iaitu –
(a) sumbangan secara langsung 
sumbangan secara langsung bermaksud pihak-pihak kepada perkahwinan itu telah sama-sama memberikan sumbangan mereka dalam memperoleh aset dan harta berkenaan. Pasangan ini sama-sama mengeluarkan modal dan wang bagi membeli aset dan harta berkenaan. Sebagai contohnya, pasangan suami isteri mempunyai kerjaya masing-masing, telah sama-sama membeli aset dan harta berkenaan secara ansuran yang pihak suami telah membuat bayaran pendahuluan dan pihak isteri pula membuat bayaran ansuran bulanan. Mereka berkongsi bersama-sama dan memberi sumbangan wang, modal dan sebagainya secara langsung daripada pendapatan mereka bersama. 

(b) sumbangan secara tidak langsung 
sumbangan tidak langsung bermaksud suatu sumbangan yang bukan berbentuk wang atau benda tetapi mendatangkan dan menghasilkan harta atau aset tertentu. Sumbangan ini, sama ada melalui idea, dorongan, nasihat, memberi semangat, menjaga keselesaan, menimbulkan ketenteraman dan sebagainya kepada pasangan satu lagi yang berusaha secara langsung dan berjaya mendapatkan harta dan aset itu. Sebagai contohnya, pihak suami bekerja dan berpendapatan tetap bulanan telah dapat membeli beberapa aset dan harta secara bayaran ansuran manakala pihak isteri tidak bekerja tetap tetapi memberikan sumbangan dengan menjaga keluarga, membina rumah tangga, memelihara anakanak dan menunaikan tanggungjawab perkahwinan mereka sehinggakan pasangan ini telah berjaya memiliki aset dan harta tersebut dalam tempoh perkahwinan mereka. Walaupun pihak isteri tidak memberikan sumbangan modal dan wang dalam memiliki aset dan harta, pihak isteri ini dianggap telah memberikan sumbangan secara tidak langsung terhadap pemilikan aset dan harta tersebut.

SIAPAKAH YANG BERHAK MENUNTUT HARTA SEPENCARIAN DAN BILAKAH TUNTUTAN BOLEH DIBUAT?
Tuntutan harta sepencarian boleh dibuat kepada Mahkamah Tinggi Syariah oleh suami atau isteri atau ahli waris, dan boleh dituntut apabila – 
(a) semasa tuntutan poligami; 
(b) selepas perceraian; atau 
(c) selepas kematian pihak suami atau isteri (oleh ahli waris).

BAGAIMANAKAH MENENTUKAN KADAR PEMBAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN?
Kadar pembahagian harta sepencarian adalah berdasarkan takat sumbangan yang diberikan oleh satu-satu pihak itu dan ia juga akan ditentukan oleh mahkamah berdasarkan faktor yang berikut: 
(a) takat sumbangan yang dibuat oleh pihakpihak dalam bentuk wang, harta atau kerja dalam memperoleh harta tersebut;
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat kebaikan mereka bersama (usaha bersama sahaja); 
(c) keperluan anak-anak yang belum dewasa dalam perkahwinan itu. 

BAGAIMANAKAH PERINTAH PEMBAHAGIAN HARTA SEPENCARIAN DIBUAT?
Perintah pembahagian boleh dibuat dengan berbagai-bagai cara iaitu – 
(a) secara sulh/pengantaraan – iaitu dengan cara pengakuan dan penyerahan hak kepada satu pihak lagi seperti si suami mengaku bahawa rumah itu adalah harta sepencarian tetapi dia tidak mahu menuntut, sebaliknya melepaskan haknya terhadap rumah itu kepada bekas isteri dan anak-anaknya;
 
(b) secara bayaran balik – iaitu apabila diakui sebidang tanah ialah harta sepencarian tetapi si suami atau si isteri mahu memiliki terus tanah itu maka siapa yang ingin terus memiliki tanah itu hendaklah memulangkan semula wang pihak satu lagi yang telah dibayar semasa pembelian tanah itu; 

(c) secara penjualan – iaitu si suami dan si isteri tidak mahu memiliki sesuatu harta/aset tetapi mahukan bahagian masing-masing, maka mahkamah akan memerintahkan harta aset itu dijual dan pembahagian mengikut kadar sumbangan terhadap harta/aset itu; 

(d) secara dibahagi dua – dalam keadaan kedua belah pihak suami dan isteri telah sama-sama menyumbang dalam memperoleh harta itu; 

(e) pertimbangan mahkamah dengan mengambil kira kadar yang munasabah dan takat sumbangan pihak itu.

Kadar pembahagian harta pula, ianya boleh dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu:

  1. Pembahagian sepertiga atau kurang kepada isteri: Pembahagian satu pertiga kepada pihak isteri dan dua pertiga kepada pihak suami akan terpakai apabila si isteri tidak memberi sumbangan kewangan dan hanya memberi sumbangan dalam bentuk menemani suami dan menjaga rumahtangga dan keluarga.
  2. Pembahagian sama rata: Berlaku sekiranya isteri juga memberi sumbangan kewangan, atau harta itu telah didaftarkan dalam kedua-dua nama suami isteri, pada amnya pembahagian akan diberi sama rata di antara suami isteri.
  3. Pembahagian melebihi separuh (1/2)  kepada isteri: Isteri yang menunjukkan bahawa dia memberi lebih sumbangan daripada suami, misalnya dengan memberi sumbangan kewangan dan juga menjaga rumahtangga, patutlah diberi bahagian yang lebih daripada separuh harta sepencarian itu.


APAKAH PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIKEMUKAKAN SEMASA MEMBUAT TUNTUTAN DI MAHKAMAH?
Perkara yang diperlukan semasa membuat tuntutan pada amnya meliputi –
(a) jenis harta, sama ada harta alih atau tak alih; 
(b) setakat banyaknya sumbangan dalam pemilikan harta itu; 
(c) dokumen-dokumen pembelian atau pemilikan harta/aset seperti tanah, rumah, kereta atau syer; 
(d) saksi-saksi yang boleh menerangkan bagaimana pemilikan harta/aset itu, sama ada berpunca daripada usaha bersama atau usaha tunggal satu pihak; 
(e) bukti tanggungan- tanggungan salah satu pihak seperti hutang-piutang atau anak-anak dalam jagaan. 

APAKAH PERKARA-PERKARA YANG PERLU DIAMBIL TINDAKAN JIKA INGIN MENGGUNAKAN KHIDMAT GUAMAN?
Setiap individu yang ingin mendapatkan khidmat Guaman oleh Peguam Swasta atau JBG, perlu mengemukakan dokumen atau butir yang berikut: 

A. butir-butir perkahwinan 
(a) surat nikah asal/surat cerai asal 
(b) sijil kelahiran anak-anak 

B. butir-butir Pihak Kena Tuntut 
(a) nama/alamat/pekerjaan suami/isteri 
(b) nama/alamat majikan suami/isteri 
(c) butir-butir tentang harta 
(d) dokumen sokongan lain yang berkaitan, jika ada 

C. nilai taksiran harta tersebut oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta 

D. sijil kematian 

E. surat mentadbir harta pusaka/probet/ pemberian



BACA ARTIKEL : 

Like, Follow dan Share Page kami untuk manfaat bersama.
Hubungi kami untuk dapatkan khidmat nasihat, kami sedia membantu anda ❤️
Semoga ada jalan penyelesaian untuk setiap masalah Anda, inshaaAllah 😃